Rabu, 18 Desember 2013

Browse Manual » Wiring » » » » Lakonan cewek Indonesia

Lakonan cewek Indonesia

Sebahagian warga asing yang ditahan dalam serbuan di tapak pembinaan LPT Cherul, Kemaman, Selasa lalu.

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga Indonesia menjerit seperti dirasuk selepas diminta menyerahkan dokumen pengenalan diri, dalam satu serbuan di rumah kongsi tapak pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Cherul, Kemaman, Selasa lalu.

Lakonan wanita berusia 30-an itu yang kononnya terkena histeria berlarutan sehingga hampir 10 minit sebelum berjaya ditenangkan oleh anggota penguat kuasa wanita yang turut sama dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi itu.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Terengganu, Mohd Shahrir Khalil berkata, sebelum ‘lakonan’ itu, wanita berkenaan bersama pasangannya ditahan ketika sedang lena tidur di dalam salah sebuah bilik di rumah kongsi tersebut.

“Pasangan yang mendakwa suami isteri itu pada awalnya berlagak tenang sebelum dilihat seperti cacing kepanasan apabila diminta menyerahkan dokumen pengenalan diri.

“Bagaimanapun, beberapa minit mendiamkan diri, wanita itu secara tiba-tiba menjerit seperti dirasuk dan meronta-ronta tidak sedarkan diri, sebelum berjaya ditenangkan anggota penguat kuasa wanita,” katanya, semalam.

Jelas Mohd Shahrir, pihaknya yakin itu adalah hanya lakonan dan helah wanita tersebut yang ingin menyelamatkan diri daripada ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Dalam operasi yang berakhir kira-kira jam 3.30 pagi itu, seramai 35 warga Indonesia ditahan termasuk pasangan suami isteri tersebut dan dua warga Myanmar kerana didapati bersalah tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Ada juga di antara mereka yang berusia 25 hingga 47 tahun itu didapati melakukan kesalahan kerana memiliki permit tamat tempoh.

Selain itu, dalam serbuan berasingan yang dilakukan dalam tempoh satu jam setengah selepas itu iaitu kira-kira jam 5 pagi di kawasan kilang membuat besi di Telok Kalong, Kemaman, seramai 20 warga asing ditahan termasuk 11 warga Myanmar; empat warga Bangladesh; empar warga Indonesia dan seorang warga Sri Lanka.

Menurut Mohd Shahrir, semasa serbuan dilakukan, kesemua warga asing tersebut sedang lena tidur sebelum keadaan menjadi kelam kabut sejurus mereka menyedari kehadiran penguat kuasa.

Jelasnya, ada sebahagian daripada warga asing itu sanggup menggadaikan nyawa dengan memanjat bumbung rumah kongsi semata-mata untuk bersembunyi bagi mengelak daripada dicekup.

Daripada 20 warga asing yang ditahan, 19 daripada mereka didapati melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen sah dan seorang daripadanya memiliki permit tamat tempoh.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar